Dinasti Qing Sejarah_China

Rencana utama: Dinasti Qing

Dinasti Qing (16441911) diasaskan selepas penewasan Dinasti Ming, dinasti bangsa Han yang terakhir, oleh tentera Manchu. Kaum Manchu yang dahulunya dikenali sebagai Jurchen menyerang dari utara pada lewat abad ke-17. Walaupun mereka bermula sebagai penakluk asing, mereka dengan pantasnya mengamalkan norma-norma kerajaan Cina tradisional yang mendasarkan Konfusianisme dan akhirnya memerintah dengan gaya dinasti-dinasti asli.

Dinasti Manchu menguatkuasakan 'perintah tocang' yang memaksa semua orang Han untuk mengamalkan tocang Manchu serta memakai pakaian gaya mereka. Masyarakat Manchu mempunyai gaya rambut yang istimewa. Mereka menggunting semua rambut di bahagian depan kepala dan menjadikan rambut di bahagian belakang kepala sebagai tocang yang panjang. Pakaian Cina tradisional, atau Hanfu, juga digantikan dengan pakaian gaya Manchu. Qipao (pakaian askar panji-panji) dan Tangzhuang yang biasanya dianggap sebagai pakaian tradisional Cina pada hari ini sebenarnya merupakan pakaian gaya Manchu. Hukuman ke atas sesiapa yang tidak mematuhi undang-undang itu ialah hukuman mati.

Maharaja Kangxi menitahkan penciptaan sebuah kamus askara Cina yang paling lengkap ketika itu. Di bawah Maharaja Qianlong, penyusunan sebuah katalog tentang karya-karya kebudayaan Cina dilakukan.

Dinasti Manchu memulakan sistem "Lapan Panji-panji" sebagai suatu percubaan untuk mengelakkan asimilasi ke dalam masyarakat Cina. "Lapan Panji-panji" itu merupakan institusi-institusi tentera yang ditubuhkan untuk memberikan sebuah struktur yang para "askar panji-panji" dapat mengaitkan diri. Keahlian kepada panji-panji tersebut berdasarkan kemahiran Manchu dalam bidang-bidang seperti memanah dan menunggang kuda, serta kehematan. Selain itu, mereka juga digalakkan menggunakan bahasa Manchu, berbanding dengan bahasa Cina. Para askar panji-panji diberikan hak istimewa ekonomi dan undang-undang di kota-kota Cina.

Pada separuh abad yang kemudian, kaum Manchu mengukuhkan kuasanya di sebilangan kawasan yang pada asalnya dikuasai oleh Dinasti Ming, termasuk Yunnan. Mereka juga memperluas lingkungan pengaruhnya ke atas Xinjiang, Tibet, dan Mongolia.

Semasa abad ke-19, kuasa Qing merosot. China mengalami persengketaan sosial secara besar-besaran, ekonomi yang tidak berkembang, serta penembusan dan pengaruh Barat. Keinginan Britain untuk meneruskan perdagangan candu dengan China bercanggah dengan edik-edik empayar yang mengharamkan dadah yang menagihkan itu, dan Perang Candu Pertama tercetus pada tahun 1840. Britain dan kuasa-kuasa Barat, termasuk Amerika Syarikat, kemudian menduduki "konsesi" secara paksaan dan memperoleh hak istimewa perdagangan. Hong Kong diserahkan kepada Britain pada tahun 1842 di bawah Perjanjian Nanking. Selain itu, Pemberontakan Taiping (18511864) dan pemberontakan Boxer (1900) berlaku pada abad itu. Dari banyak segi, pemberontakan-pemberontakan dan perjanjian-perjanjian yang Dinasti Qing dipaksa mengikat dengan kuasa-kuasa imperialis merupakan gejala-gejala ketakupayaan kerajaan China untuk membalas dengan sempurna kepada keadaan-keadan yang mencabar China pada abad ke-19.